Di Malaysia, sistem-sistem rawatan utama yang digunakan secara menyeluruh adalah tangki septik komunal, tangki Imhoff dan sistem-sistem kos rendah seperti kolam-kolam pengoksidaan. Tambahan pula, kawasan bandar besar masih menggunakan Tangki Septik Individu (IST) dan terdapat lebih daripada sejuta tangki septik individu di Malaysia.
Tangki-tangki ini hanya merawat kumbahan secara separa, melepaskan efluen yang masih mempunyai kandungan bahan organik yang tinggi. Ini berpotensi untuk mengakibatkan masalah kesihatan orang awam dan persekitaran terutamanya di kawasan bandar.
Dalam jangka masa panjang, adalah diharap agar sistem pembetungan Malaysia akan menjadi lebih cekap menerusi pelarasan piawaian jenis-jenis loji yang digunakan.
Program-program menyeluruh ini merevolusikan pengurusan kumbahan domestik di Malaysia. Kesemua infrastruktur pembetungan akan melalui proses perubahan. Anggaran telah dibuat mengenai jumlah dan jenis loji-loji olahan awam di Malaysia.
Tangki Imhoff merupakan loji olahan kumbahan yang paling ringkas dan memerlukan kemahiran pengendali yang minima Tiada perkakasan mekanikal untuk diselenggarakan dan operasi meliputi penyingkiran skum, penukaran arah aliran untuk pengagihan enapcemar yang sama rata dan juga penyingkiran enapcemar.
Tangki Imhoff membentuk 24 peratus (jumlah 800) daripada semua loji olahan kumbahan di Malaysia dan merupakan jenis loji kumbahan kedua yang kerap digunakan. Ia menyediakan olahan kumbahan yang terhad dan tidak sesuai untuk jangka masa panjang. Efluen daripada tangki Imhoff boleh menjadi semakin teruk dengan pantas jika tangki-tangki tersebut tidak diselenggarakan dengan betul.
Sebuah IT mempunyai 2 ruang diletakkan di atas satu sama lain. Di ruang atas, pemendapan berlaku dengan pepejal melalui bukaan ke ruang yang di bawah. Pepejal termendap akan membentuk enapcemar di ruang di bawah dan akan melalui pencernaan anarobik. Gas-gas daripada tangki-tangki dibawah akan dilepaskan ke udara. Skum pula dikumpul di bahagian atas tangki.
IT selalunya digunakan untuk komuniti-komuniti kecil sehingga kesetaraan penduduk (PE) 1,000. Tangki ini murah untuk dipasang, dikendalikan dan diselenggarakan. Walau bagaimanapun, IT juga seperti IST. Ia hanya merawat kumbahan secara separa. Efluen daripada tangki-tangki ini tidak akan memenuhi syarat-syarat persekitaran yang ditetapkan oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS). Kaedah yang popular waktu itu untuk memberikan perkhidmatan kepada komuniti yang kecil adalah dengan menggunakan loji-loji olahan pakej kecil, terutamanya IT.
Kolam-kolam pengoksidaan (atau Kolam Penstabilan) merupakan kaedah olahan kumbahan yang popular untuk komuniti kecil disebabkan oleh kos pembinaan dan operasi yang rendah. Kolam ini mewakli 12 peratus (jumlah 500) daripada semua loji rawatan kumbahan. Kolam pengoksidaan yang baru boleh mengolah kumbahan ke tahap efluen Piawaian B tetapi memerlukan penyelenggaraan dan pengosongan berjadual untuk mengekalkan piawaian ini.
OP mungkin mempunyai satu atau lebih kolam-kolam cetek bersiri. Proses-proses semulajadi di dalam pertumbuhan alga dan bakteria juga wujud dalam hubungan yang saling bergantung.
OP memerlukan kawasan yang luas dan jumlah rawatan adalah bergantung kepada cuaca. Ia tidak berkebolehan untuk mencapai piawaian efluen yang baik secara konsisten. Pencapaian variasi seperti ini yang memerlukan penggantian berperingkat bagi loji rawatan jenis ini.
Bergantung kepada rekabentuknya, OP perlu dikosongkan lebih kurang 10 tahun sekali.
Loji olahan pasang siap yang dikenali sebagai "loji pakej" digunakan untuk komuniti-komuniti kecil yang mempunyai kesetaraan penduduk (PE) 5,000.
Loji pakej memerlukan kerja merekabentuk yang sedikit dan boleh dipasang dengan cepat namun ia memerlukan penjagaan operasi dan penyelenggaraan yang sama dengan loji-loji rawatan biasa. Dakwaan yang mengatakan loji pakej tidak menghasilkan enapcemar adalah salah.
Loji-loji pakej ini perlu digunakan dengan berhati-hati apabila terdapat variasi yang besar di dalam aliran (mengalami gegaran hidraulik). Sebagai tambahan, bekalan mestilah mencukupi untuk penyingkiran enapcemar, skum, gris dan kawalan bekalan udara perlu dilakukan dengan betul.