Soalan-soalan Lazim – Pelanggan Domestik


Pelanggan Domestik

Pelanggan IWK
Seperti yang telah ditakrifkan dalam Akta Perkhidmatan Pembetungan (Caj) Peraturan 1994, pelanggan atau pengguna IWK ialah pemilik/penghuni, firma, badan korporat atau entiti yang telah ditetapkan di bawah undang-undang sebagai pemunya atau penghuni mana-mana premis domestik, komersial, industri atau kerajaan yang disediakan dengan perkhidmatan pembetungan jenis bersambung atau perkhidmatan tangki septik dan premis tersebut terletak di dalam kawasan operasi Pihak Berkuasa Tempatan yang telah diserahkan kepada IWK untuk memberikan perkhidmatan dan penyenggaraan sistem pembetungan.
Definisi Premis Domestik

Premis domestik ertinya mana-mana premis yang dibina, didirikan, disesuaikan atau dicadangkan untuk digunakan secara eksklusif bagi kediaman penduduk.

Definisi Kuarters Kerajaan

Kuarters kerajaan ertinya mana-mana premis yang dibina, didirikan, disesuaikan atau dicadangkan untuk digunakan secara eksklusif bagi kediaman kakitangan Kerajaan di Gred A, B, C, D, E, F, G, H & I, sepertimana yang ditakrifkan di dalam Perintah Am Kerajaan (Bab E)

Premis Bertangki Septik

Tangki septik hanya menyediakan sebahagian sahaja rawatan kumbahan yang mengalir ke dalamnya dan perlu dikosongkan secara berjadual, kira-kira sekali dalam setiap dua tahun sekali; bagi memastikan ianya berfungsi dengan cekap.

Bagi caj perkhidmatan pengosongan tangki septik, pelanggan perlu membayar antara RM192.00 untuk kitaran 24 bulan atau RM8/sebulan bagi tangki septik terletak dalam sempadan kawasan pihak berkuasa tempatan atau RM192.00 untuk kitaran 36 Bulan atau RM5.33/sebulan bagi tangki septik terletak luar sempadan kawasan pihak berkuasa tempatan).

Sila hubungi IWK di talian 03-20832828 atau pejabat operasi IWK yang berhampiran dengan anda jika tangki septik premis memerlukan perkhidmatan pengosongan.

Mengenalpasti Tangki Septik

Tangki septik biasanya dibina di bawah tanah dan berada di luar premis sama ada di bahagian hadapan, tepi atau belakang premis. Ia mempunyai 2 - 4 penutup logam yang bersegi empat tepat. Penghuni atau pemilik premis bertanggungjawab ke atas penyelenggaraan tangki septik tersebut. IWK hanya menyediakan perkhidmatan pengosongan tangki septik sahaja.

Pengosongan Tangki Septik Mandatori

Penghuni atau pemilik premis yang enggan menerima perkhidmatan pengosongan tangki septik oleh IWK akan dikenakan saman jika didapati bersalah sepertimana yang terkandung di dalam Peraturan-Peraturan Industri Perkhidmatan Air (Perkhidmatan Nyahenap Cemar) 2021.

Semua pemilik, perbadanan pengurusan atau penghuni mana-mana premis bersambung dengan tangki septik atau mempunyai tangki septik perlu melakukan nyahenap cemar secara berjadual berdasarkan kepada pewartaan “Peraturan-Peraturan Industri Perkhidmatan Air (Perkhidmatan Nyahenap Cemar) 2021” yang telah berkuatkuasa mulai 30 Mac 2021. Jadual nyahenap cemar adalah seperti berikut:

i. tangki septik di dalam kawasan pengoperasian pihak berkuasa tempatan (PBT), nyahenap cemar dijadualkan setiap 24 bulan (2 tahun) sekali; dan

ii. tangki septik yang terletak di luar sempadan mana-mana PBT, nyahenap cemar dijadualkan setiap 36 bulan (3 tahun)sekali.

Tangki septik yang tidak diselenggara dan dikosongkan: Di bawah subseksyen 65(3) Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 [Akta 655], pemilik jika disabitkan, boleh didenda tidak melebihi RM50,000.

Perkhidmatan Pembetungan Bersambung

Premis yang mempunyai sistem pembetungan jenis bersambung ke loji rawatan kumbahan akan dikenakan caj pembetungan sebanyak RM10.00 sebulan. Anda boleh mengenalpasti perkhidmatan bersambung ini jika anda lihat adanya satu penutup logam bersegi empat tepat, dipanggil lurang pemeriksaan, di luar rumah anda sama ada di bahagian tepi, hadapan atau belakang. Seluruh kawasan anda dianggap mempunyai sistem pembetungan jenis bersambung sekiranya terdapat lurang pembetungan dengan penutup logam bulat di atas jalan raya di sekitar kawasan premis anda.

Di dalam lurang pembetungan, terdapat paip-paip pembetungan yang menyambungkan sistem pembetungan premis-premis ke loji rawatan kumbahan. Ia juga digunakan untuk memeriksa masalah pembetungan dan membersihkannya. Adalah salah di sisi undang-undang jika orang awam membuka lurang pembetungan tanpa kelulusan daripada IWK atau Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara dan kementerian yang berkaitan.

Kebiasaannya, anda tidak akan berjumpa dengan kakitangan IWK di premis anda kerana kerja-kerja kami adalah di loji rawatan kumbahan awam dan penyelenggaraan paip-paip pembetungan di atas jalan raya awam. Anda akan berjumpa dengan kakitangan atau wakil IWK apabila anda memanggil kami untuk membersihkan paip pembetungan awam yang tersumbat atau mengalami masalah pembetungan.

Sampah Sarap

Membuang sampah sarap/pepejal seperti napkin bayi dan tuala wanita, surat khabar, majalah dan lain-lain ke dalam tandas, tangki septik atau lurang pemeriksaan akan menyekat saliran paip pembetungan awam dan di dalam premis. Ini akan mengakibatkan air kumbahan melimpah ke dalam tandas, bilik air atau dapur premis anda. Untuk mengelakkan paip pembetungan tersumbat, sila pastikan anda dan penghuni premis anda tidak membuang sampah sarap ke dalam tandas, tangki septik atau lurang pemeriksaan.

Perkhidmatan Atas Permintaan

Di dalam lurang pemeriksaan terdapat saliran-saliran kumbahan yang menyambungkan paip-paip pembetungan premis anda kepada paip pembetungan awam dan ia juga digunakan untuk memeriksa dan mengeluarkan bahan-bahan yang tersekat di dalam saliran paip pembetungan awam atau premis anda.

Untuk mengeluarkan sekatan daripada saliran paip pembetungan awam, anda tidak perlu membayar untuk perkhidmatan ini kerana IWK adalah bertanggungjawab di atas penyelenggaraan paip tersebut.

Sekiranya terdapat sekatan di dalam saliran paip pembetungan dalam premis, anda akan dikenakan caj perkhidmatan sebanyak RM180.00 setiap kali perkhidmatan dijalankan. Pembayaran hendak dijelaskan selepas sekatan dikeluarkan. Sila dapatkan resit pembayaran daripada kakitangan atau wakil IWK.

Sekiranya terdapat kerosakan pada saliran paip pembetungan di dalam premis, penghuni iaitu pemilik atau penyewa perlu mendapatkan khidmat kontraktor persendirian, atas pembiayaan sendiri, untuk menggantikan/membaiki paip tersebut. IWK akan membekalkan nama kontraktor atas permintaan daripada penghuni premis.

Premis Tidak Berpenghuni

Mulai 1 Januari 2023, caj minima akan dikenakan kepada premis kosong yang yang mempunyai meter air aktif dengan Syarikat Air Negeri. Caj minimum ini adalah bagi menampung kos penyelenggaran dan pengoperasian aset pembetungan daripada premis kepada loji rawatan kumbahan walaupun premis tidak berpenghuni. Sebagai contoh, kebanyakkan loji bermekanikal tidak bergantung kepada kadar aliran sisa kumbahan yang mana loji-loji ini menggunakan tenaga elektrik yang sama walaupun kadar aliran adalah rendah.

Premis Kos Rendah
Premis yang ditarif sebagai premis kos rendah akan dikenakan caj perkhidmatan pembetungan RM2.00 setiap bulan. Sila kirimkan kepada IWK satu salinan Bil Taksiran atau surat daripada Pihak Berkuasa Tempatan sekiranya premis dikategorikan selain daripada kos rendah untuk tindakan lanjut kami.
Pembayaran Bil Perkhidmatan Pembetungan

Pembayaran secara tunai sahaja boleh dibuat di semua cawangan Pos Malaysia yang berkomputer dan Bank Simpanan Nasional.

Pembayaran secara tunai atau cek boleh dibuat di Maybank, Mayban Finance, Public Bank & Finance, Arab-Malaysian Bank & Finance, semua pejabat IWK, Ibu Pejabat IWK di No 44, Jalan Dungun, Damansara Heights, 50490 Kuala Lumpur.

Pembayaran melalui perbankan internet boleh dibuat melalui “Maybank2U.com.my” untuk pemegang akaun Maybank sahaja.

Untuk maklumat lanjut, sila rujuk Kaedah Pembayaran.

Penukaran Hak Milik Premis
Anda perlu mengirimkan sesalinan Surat Perjanjian Jual-Beli yang menunjukkan tarikh perjanjian ditandatangani, nama pembeli dan penjual, alamat harta dan tandatangan semua pihak yang berkenaan. Ini adalah untuk memastikan maklumat pemilik pada Akaun Pembetungan premis tersebut adalah betul dan tepat.
Tanggungjawab Pemilik Atau Penghuni Premis

Penghuni iaitu pemilik atau penyewa premis adalah bertanggungjawab ke atas pembayaran Bil Perkhidmatan Pembetungan bagi perkhidmatan pembetungan yang telah disediakan oleh IWK.

Sekiranya, penghuni atau penyewa gagal menjelaskan pembayaran Bil Perkhidmatan Pembetungan, pemunya premis adalah bertanggungjawab ke atas caj perkhidmatan pembetungan yang tertunggak.

Pemindahan Harta: Bayaran Tertunggak

Selaras dengan Peraturan (9) Peraturan Industri Perkhidmatan Air (Caj Perkhidmatan Pembetungan) Peraturan 2022, dinyatakan bahawa:

"Mana-mana individu yang menjual atau memindahmilik mana-mana premis yang berkenaan dengannya, caj perkhidmatan pembetungan telah dilakukan bagi perkhidmatan pembetungan yang disediakan oleh pemegang lesen perkhidmatan, maka hendaklah terus bertanggungjawab bagi pembayaran segala caj perkhidmatan pembetungan yang perlu dibayar berkenaan dengan premis itu, melainkan jika notis telah diberikan terlebih dahulu kepada pemegang lesen perkhidmatan berhubung dengan penjualan atau pemindahmilikan itu."

"Tiada apa-apa dalam Peraturan ini yang boleh menjejaskan liabiliti pembeli atau penerima pindahan untuk membayar caj perkhidmatan pembetungan berkenaan dengan premis yang disebut dalam subperaturan (1) atau menjejaskan hak pemegang lesen perkhidmatan untuk mendapatkan balik caj perkhidmatan pembetungan daripada pembeli atau penerima pindahan."

Pembeli bertanggungjawab untuk membayar segala caj perkhidmatan pembetungan berkenaan dengan premis itu melainkan jika notis awal telah diberikan kepada IWK berhubung dengan penjualan atau pemindahmilikan. Berkuat kuasa serta-merta, IWK tidak lagi akan menerima sebarang permintaan untuk membahagikan bayaran tertunggak antara pemilik lama atau pemilik baharu.

Adalah penting supaya pembeli memastikan bahawa tiada bil perkhidmatan pembetungan tertunggak / belum dibayar di premis tersebut, dan sebarang bil tertunggak hendaklah dijelaskan semasa transaksi jual beli dilakukan.