Soalan-soalan Lazim


Pengebilan Bersepadu di W.P Labuan

Apakah bil bersepadu?

Bil bersepadu ini adalah satu bil yang merangkumi caj penggunaan air dan caj perkhidmatan pembetungan bersambung. Bil bersepadu ini akan dikeluarkan oleh pihak Jabatan Bekalan Air W.P. Labuan (JBAL) setiap bulan bermula 1 Mac 2016. Bil ini akan menunjukkan penggunaan semasa air dan perkhidmatan pembetungan bersambung yang akan disatukan menjadi jumlah utama. Pelanggan perlu menjelaskan keseluruhan jumlah utama yang tertera di dalam bil bersepadu ini.

Mengapakah perlu bil bersepadu ini?

Bil bersepadu ini memudahkan pengurusan bil-bil utiliti yang efisien serta sejajar dengan Akta Industri Perkhidmatan Air 2006, dan juga bagi memudahkan para pelanggan membuat pembayaran caj-caj penggunaan air dan perkhidmatan pembetungan.

Siapakah yang akan menerima bil bersepadu ini?

Bil bersepadu ini adalah untuk pelanggan perkhidmatan pembetungan bersambung sahaja bagi premis domestik (termasuk kuarters Kerajaan), komersil, premis Kerajaan dan perindustrian sahaja. Premis yang menggunakan tangki septik individu, akaun-akaun Kerajaan yang didaftarkan sebagai PUKAL dan akaun perkhidmatan pembetungan bersambung dengan nilai tahunan tunggal tetapi mempunyai beberapa meter air; akan terus menerima bil daripada IWK.

Bilakah bil bersepadu ini akan dikuatkuasakan?

Bil bersepadu ini akan berkuatkuasa bermula 1 Mac 2016.

Adakah tunggakan caj pembetungan IWK sebelum 1 Mac 2016 akan dilupuskan?

Tidak, sebarang tunggakan caj perkhidmatan pembetungan sebelum Mac 2016 perlu dijelaskan terus kepada pihak IWK.

Siapakah yang perlu dihubungi jika premis mengalami masalah pembetungan?

Anda perlu menghubungi pejabat operasi IWK Labuan di talian 087- 414 828 Anda juga boleh mengunjungi pejabat operasi IWK di alamat Mezzanine Floor, Lot 1, Bangunan Tabung Haji, Jalan Bunga Kesuma, P.O.Box 80305, 87013 Wilayah Persekutuan Labuan.

Adakah saya akan dikenakan GST untuk bil bersepadu ini?

Tidak. Labuan adalah sebuah kawasan khas yang dikecualikan daripada Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST).

Bolehkah saya menjelaskan sebahagian daripada jumlah bil bersepadu ini dan apakah yang akan terjadi sekiranya saya membayar caj penggunaan air sahaja?

Tidak, pelanggan perlu menjelaskan keseluruhan jumlah yang tertera di dalam bil bersepadu ini. Jika anda hanya membayar caj penggunaan air, anda akan mempunyai jumlah tertunggak dalam bil bersepadu dan akhirnya boleh menyebabkan pihak JBAL melakukan pemotongan bekalan air ke premis anda.

Di manakah pembayaran bil bersepadu ini boleh dilakukan?

Anda boleh menjelaskan bil bersepadu ini di kaunter Jabatan Bekalan Air W.P. Labuan, agensi lantikan (JBAL) dan perbankan atas talian (sila rujuk senarai perbankan atas talian yang diterima oleh pihak JBAL). Pelanggan perlu melakukan pembayaran penuh bagi jumlah yang tertera di dalam bil bersepadu tersebut. Kegagalan untuk berbuat demikian akan menyebabkan akaun bil bersepadu tersebut tertunggak dan boleh mengakibatkan pemotongan bekalan air ke premis anda.

Apakah kekerapan penghantaran bil bersepadu ini?

Setiap bulan atau mengikut kitaran bil JBAL.

Saya mempunyai tunggakan caj pembetungan IWK sebelum bil bersepadu dilaksanakan. Bolehkah saya menjelaskan bil tunggakan ini secara ansuran?

Anda perlu menghubungi pihak IWK Labuan di talian 087- 414 828 untuk berbincang dengan pegawai perkhidmatan pelanggan IWK.

Adakah implementasi bil bersepadu ini akan mengakibatkan kenaikan tarif bil?

Tidak. Caj tidak berubah buat masa ini dan ia adalah tarif semasa.

Premis saya menggunakan tangki septik individu. Adakah saya juga akan menerima bil bersepadu ini?

Premis yang menggunakan tangki septik individu tidak termasuk di bawah senarai bil bersepadu. Anda boleh mendapatkan perkhidmatan pengosongan tangki septik individu dengan menghubungi pihak IWK Labuan atau kontraktor-kontraktor yang berdaftar dengan pihak SPAN. Sekiranya anda menggunakan perkhidmatan pengosongan tangki septik individu daripada pihak IWK, segala caj perlu dijelaskan terus kepada pihak IWK.

Bagi pelanggan komersil, selalunya ada pelarasan daripada pihak IWK. Adakah ini akan berlaku selepas implementasi bil bersepadu?

Tidak. Selepas implementasi bil bersepadu, pengebilan pembetungan dibuat berpandukan data penggunaan air semasa pada waktu itu dan bukannya secara purata penggunaan air.

Adakah saya akan dikenakan caj minima jika premis saya tidak berpenghuni?

Tiada caj minima untuk perkhidmatan pembetungan. Selagi premis tersebut mempunyai meter air yang menunjukkan bacaan, caj bulanan perkhidmatan pembetungan akan dikenakan.